Monday, November 15, 2010

Guna khidmat 58 doktor pakar Mesir

KULAIJAYA 14 Nov. - Seramai 58 doktor pakar dari Mesir akan dihantar berkhidmat di beberapa hospital di seluruh negara yang memerlukan khidmat doktor pakar menjelang akhir tahun ini
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, khidmat kesemua doktor pakar tersebut adalah bertujuan mengisi keperluan kritikal di beberapa hospital kerajaan di negara ini.

Beliau berkata, khidmat mereka itu adalah hasil rundingan di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Mesir yang berlangsung tidak berapa lama dahulu.

"Kita mendapati khidmat doktor pakar sangat diperlukan di negara ini dan usaha yang dilakukan ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk menangani masalah tersebut.

"Mereka akan diambil berkhidmat secara kontrak selama dua tahun dan apabila mereka kembali semula ke negara mereka, kesemua mereka itu tidak akan hilang kekananan (seniority) mereka jika berkhidmat di hospital asal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat dan menghadiri taklimat mengenai Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, kerajaan Mesir turut melakukan tapisan terlebih dahulu terhadap kesemua doktor terbabit bagi memastikan Malaysia mendapat tenaga pakar yang berkualiti tinggi.

Beliau memberitahu, melalui tapisan yang dilakukan itu hanya mereka yang benar-benar menepati piawaian dan hanya mereka yang mempunyai kerelaan sahaja akan berkhidmat di hospital-hospital di Malaysia.

"Sebelum ini, pengambilan doktor pakar dari luar negara dibuat secara langsung dengan cara mengiklankan jawatan berkenaan di dalam akhbar negara-negara berkenaan tanpa penglibatan kerajaan negara terbabit.

"Kita melihat cara tersebut tidak begitu baik kerana hanya sebahagian doktor yang diambil bekerja menjalankan tugas mereka dengan baik manakala selebihnya tidak. Selain Mesir kita juga sedang mengadakan rundingan yang sama dengan Pakistan dan India untuk tujuan sama," katanya.